Sunday 19 June 2011

Dementia

Dementia adalah sejenis penyakit otak yang progresif. Ia boleh membawa kepada penurunan dalam menjalankan aktiviti harian dan boleh menyebabkan pesakit memerlukan penjagaan masa panjang.
Sebahagian dari pesakit dementia kurang/tidak berupaya melakukan aktiviti-aktiviti harian. Mereka juga sukar untuk menyelesaikan masalah atau mengawal emosi.
DEMENTIA atau nyanyuk sering dikaitkan dengan orang tua. Hakikatnya, penyakit yang melibatkan bahagian otak ini juga turut berisiko dialami oleh golongan muda malahan kanak-kanak. Di negara ini, ia bukanlah satu penyakit yang asing kerana semakin tinggi jangka hayat dalam masyarakat hari ini akibat tahap kesihatan yang semakin baik, maka semakin tinggi juga risiko untuk mengalaminya.
"Nyanyuk bermaksud kemerosotan fungsi daya pemikiran. Penyakit ini progresif iaitu semakin lama semakin teruk. Ia biasanya dialami oleh golongan usia 65 tahun ke atas. Bagaimanapun, golongan usia muda juga tidak terlepas termasuk kanak-kanak. Nyanyuk di kalangan orang muda yang berusia 4 sehingga 45 tahun di kenali sebagai 'pre senile dementia’ manakala kanak-kanak yang mengalami kerencatan mental seperti Sindrom Down juga boleh mengalami penyakit ini," jelas Pakar Neurologi dan Perunding Perubatan HUKM, Prof. Madya Dr. Raymond Azman Ali.
Kelakuan bagi penhidap Dementia selalunya tidak terurus, tidak sesuai, mudah tergangu dan resah. Berkelakuan antisosial samada mendedahkan organ seks atau mencuri.Terdapat juga penurunan keinginan seperti melakukan sesuatu secara stereotype dan rigid, bila dipaksa berbuat lebih boleh menyebabkan kemarahan melampau.Bila keadaan bertambah teruk, berlakunya pengabaian penjagaan diri, kelakuan tidak bertujuan, stereotype dan mannerism, disorientated dan incontinence.
Tambahan pula, pemikiran akan menjadi lambat dan kurang bermakna, concrete thinking dan kurang tolak ansur. Mood juga akan menjadi resah, mudah marah dan murung. Seterusnya menjadi blunted dan boleh mengalami perubahan mood secara tiba-tiba. Selain itu, perubahan fungsi pemikiran seperti menjadi pelupa dan sukar mempelajari pelajaran baru. Tumpuan dan konsentrasi serta orientasi akan juga terganggu.









Etiologi
DEMENTIA adalah sebahagian daripada proses penuaan. Setiap individu yang memasuki usia 20 tahun mula mengalami proses kematian sel-sel dalam otak dan menyebabkan otak mula mengecut. Lebih cepat sel-sel otak mati, maka lebih tinggi risiko mendedahkan seseorang kepada dimentia.
• Setengah jenis dementia lebih tinggi di kalangan wanita.
• Mereka yang mengalami masalah tekanan darah yang tak terkawal, penyakit kencing manis, penyakit jantung, paras lemak dalam darah yang tinggi
• Pesakit yang mengalami penyakit Parkinson.
• Mereka yang terencat akal atau tahap pembelajaran yang rendah.
Ada juga terdapat fakta genetik/ keturunan yang didapati meninggikan risiko tanpa menyebabkan penyakit berlaku.
"Tidak ada kajian dilakukan bagi mengenalpasti punca nyanyuk di negara ini. Bagaimanapun, penyakit strok atau angin ahmar yang kerap berulang boleh menyebabkan seseorang terdedah kepada penyakit ini. Penyakit alzheimer dan parkinson juga kerap ditemui menjadi punca nyanyuk. Penyakit seperti ketumbuhan otak di Lobus Frontal dan jangkitan otak yang menyebabkan ensefalitis (sawan) juga boleh menyebabkan pesakit menjadi nyanyuk. Punca-punca lain adalah akibat kekurangan vitamin B12, kekurangan hormon toksin/tiroid yang menyebabkan hipotirodism dan keturunan.
Penyakit Creutzfeldt Jakob Disease (CJD) yang dialami oleh golongan tua berusia 60 tahun ke atas juga didapati boleh menyebabkan dementia. Tanda-tanda penyakit ini ialah otot kejang dan pesakit tersentap, jalan tidak seimbang serta pergerakan kaku. Ia boleh berjangkit melalui otak, mata dan saraf tunjang.
TANDA-TANDA
1. Hilang daya ingatan/lupa
Pesakit tidak dapat mengingati peristiwa-peristiwa yang baru berlaku (lost of recent memory). Contohnya seperti lupa menu sarapan pagi yang dimakannya dan sebagainya. Bagaimanapun, mereka masih ingat peristiwa atau perkara lama seperti nombor kad pengenalan dan sebagainya. Namun, ingatan ini juga lama-kelamaan akan hilang dari ingatannya.
2. Fungsi otak merosot
Kemudian satu persatu fungsi otak merosot menyebabkan pergerakan menjadi lambat dan lemah di kaki, daya makan dan menelan turut terganggu. Pesakit juga tidak mampu lagi mengawal pundi kencing dan pembuangan air besar menyebabkan mereka membuang air di merata-rata tempat. Pengeluaran najis juga tidak dapat dikawal dan keluar tanpa pengetahuan pesakit.
3. Hilang rasa malu
Pesakit juga tidak merasa malu berbogel di khalayak ramai atau di kalangan ahli keluarga. Mereka juga tidak segan mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak senonoh atau berbincang mengenai topik-topik yang memalukan.
4. Hilang kebolehan asas
Mereka juga mula hilang pengetahuan asas seperti mengira, pengetahuan am lain seperti tidak dapat mengenali ahli keluarga yang biasa dilihat atau selalu dilihatnya seperti anak, cucu dan saudara mara lain.
Percakapan juga menjadi semakin sukar dan tahap kefahaman juga amat lemah. Ini adalah sebahagian tanda-tanda nyanyuk di peringkat yang teruk. "Tanda-tanda sama ada seseorang individu itu mengalami dimentia atau hanya penyakit lupa yang biasa dapat dikesan melalui ujian psikologi yang dilakukan. Pesakit akan menjalani ujian fungsi korteks yang diseragamkan di seluruh dunia seperti mengatur kiub, ujian ingatan dan pemeriksaan mata. Pada peringkat awal, doktor akan menjalankan ujian tahap kecerdasan otak.
Ujian scan otak (CT) boleh mengenalpasti sama ada otak mula mengecut atau sebaliknya. Ujian EEG juga kadangkala dilakukan bagi merakam gelombang otak. Gelombang otak yang hilang menunjukkan tanda-tanda dimentia. Tahap vitamin B12 dalam darah juga diukur. Jika ia kurang, maka pesakit akan diberikan suntikan yang mengandungi vitamin ini agar mereka boleh mengingat semula.
DIAGNOSIS/ PEMERIKSAAN
PESAKIT akan di berikan soalan soal selidik oleh pakar psikologi mengenai maklumat yang pernah mereka lalui bagi mengenal pasti tahap mental secara umum, jenis dan tahap penyakit yang dialami. Bagi pesakit yang sering terlupa kerana lalai, pakar psikologi akan mengadakan terapi psiko kerohanian kepada pesakit untuk membantu mereka menenangkan akal fikiran dan melatih diri menggunakan buku nota atau diari bagi mengelakkan terlalu kerap terlupa.

RAWATAN
RAWATAN bagi mengatasi masalah nyanyuk bergantung kepada punca terjadinya nyanyuk. Biasanya nyanyuk yang disebabkan oleh kekurangan vitamin B12 boleh diatasi dengan pemberian vitamin ini. Bagaimanapun, ia hanya boleh diberi melalui suntikan memandangkan dos yang terdapat pada vitamin tambahan atau makanan tidak mencukupi untuk keperluan pesakit.
Begitu juga dengan nyanyuk akibat kekurangan hormon tiroid dan jangkitan otak boleh disembuhkan melalui rawatan memulihkan penyakit ini melalui pemberian hormon dan pembedahan otak.
"Bagaimanapun, punca nyanyuk akibat strok atau alzheimer tidak boleh disembuhkan dan pesakit terpaksa menghadapinya seumur hidup. Setakat ini belum ada lagi ubat untuk menyembuhkan nyanyuk. Sejenis ubat yang dikenali sebagai Tacrine digunakan bagi menghasilkan sejenis kimia dalam otak dikenali sebagai acetyl choline. Namun penggunaannya tidak begitu digalakkan," katanya lagi.
Dalam keadaan ini, pesakit hanya memerlukan penjagaan kebajikan dirinya kerana pesakit boleh mengalami pelbagai komplikasi lain seperti kematian akibat kemalangan dan sebagainya. Ini kerana pesakit yang hanya berbaring dalam satu keadaan sahaja boleh memudaratkannya dan perhatian daripada seseorang diperlukan bagi membantunya mengubah kedudukan pesakit. Bagi pesakit yang tidak di kawal, ubat sedatif digunakan bagi mengawal pergerakan mereka.
"Majoriti pesakit mati akibat jangkitan seperti penyakit pneumonia. Ini kerana pesakit yang mengalami dimentia yang teruk hanya mampu berbaring sahaja dan tidak batuk bagi mengeluarkan kahak. Kadangkala pesakit boleh mengalami kematian akibat penyakit lain dari nyanyuk. Oleh itu, pesakit perlu diberi penjagaan dan kawalan untuk keselesaan mereka.

Komplikasi
Jika dementia tidak dikesan awal, beberapa akibat mungkin terjadi, seperti:
• Peningkatan dalam penyakit fizikal atau penyakit mental
• Peningkatan dalam kadar kematian.
• Dementia boleh membawa kepada kemasukan dalam institusi penjagaan dengan lebih awal.
• Ia boleh menimbulkan tekanan kepada penjaga dan menimbulkan penyakit fizikal dan mental di kalangan penjaga.
• Ia boleh menyebabkan penderaan ke atas pesakit.
Pengurusan Pesakit Dementia
Pada masa ini dementia tidak boleh diubati, tetapi pembelajaran dan sokongan kepada pesakit dan penjaga pesakit dementia dapat membantu dalam mengawal sesetengah gejala penyakit.
Ada terdapat beberapa jenis ubatan yang boleh menolong dalam mengawal gejala dan meningkatkan fungsi kognitif. Ada juga ubatan yang digunakan untuk merawat psikosis, kemurungan dan masalah emosi.
Pencegahan
Kajian mendapati bahawa aktiviti yang merangsang intelek seperti bermain catur, membaca dan sebagainya dapat mengurangkan risiko berlakunya dementia. Amalan cara hidup sihat boleh juga mengurangkan risiko mendapat dementia.
Rehabilitasi
Terdapat banyak terapi psikososial yang memberi manfaat kepada pesakit dementia. Ini termasuk memberi sokongan kepada pesakit dalam menjalani aktiviti harian mereka, menggalakkan aktiviti yang merangsang fungsi mental dan pancaindera mereka serta banyak lagi.
Kumpulan sokongan yang berdekatan anda seperti Alzheimer's Disease Foundation of Malaysia dan Johor Bahru Alzheimer's Disease Association (JOBADA) dapat membantu anda dalam memberi cadangan tentang aktiviti yang berkesan.

No comments:

Post a Comment